- Kaedah Fonik
Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar
membaca dengan melatih pelajar-pelajar menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu
dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah
bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih
menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks
bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi
kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang
panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna
perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu
diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara
ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan
sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja
suku kata perkataan tersebut.
Selain
itu, menurut Naffi Mat (2006:87), kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan
pelajar KBSR. Hal ini kerana pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi
fonem yang merupakan hasil gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut.
Sebagai contohnya, jika guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya,
murid-murid akan mengikut bunyi yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat
mengingati huruf berserta bunyi bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan
menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal bagi membentuk suku kata
seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses pengajaran berjalan dengan lancar, guru
boleh melanjutkan pembelajaran dengan membentuk satu suku kata tertutup yang
lain”, iaitu “mak”. Guru boleh menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk
membentuk perkataan “mamak’ dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca
perkataan “mamak” secara berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai
makna perkataan tersebut.
- Kaedah Pandang Sebut
Pendekatan ini merupakan kaedah yang
dimulakan dengan mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkataan-perkataan. Kaedah
ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang lebih mementingkan pembelajaran
huruf (fonem) atau suku kata kepada pelajar-pelajar terlebih dahulu. Proses
pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh dimulakan dengan aktiviti
memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh menggunakan alat bantu
mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar yang melambangkan
perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, pelajar boleh melihat gambar yang
ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut perkataan-perkataan yang
mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.
Selain
itu, kaedah ini berfungsi dengan pelajar perlu mengecam dan mengenal pasti
keseluruhan perkataan. Setelah pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut,
pelajar tidak mengeja atau membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi
pelajar perlu menyebut perkataan tersebut. Dengan erti kata lain, dalam konteks ayat pendek dan mudah,
pelajar-pelajar tidak mengeja satu persatu perkataan yang terdapat dalam binaan
ayat tersebut, tetapi pelajar-pelajar akan terus menyebut ayat tersebut setelah
mereka mampu mengecam ayat tersebut. Kaedah ini memerlukan latih tubi yang
berterusan kerana tahap pelajar-pelajar yang mampu untuk menguasai kemahiran membaca terus adalah
berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak
sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa perlu mengeja
terlebih dahulu.
- Kaedah Berkongsi Membaca
Selain itu,
kaedah ini juga boleh menggunakan pendekatan guru yang menjadi model kepada
pelajar untuk menguasai kemahiran membaca. Hal ini kerana guru boleh
memperkenalkan kanak-kanak yang baru belajar membaca dengan buku-buku cerita
yang beraneka jenis yang semestinya digemari oleh kanak-kanak. Buku-buku cerita
tersebut sudah tentu mampu menarik minat kanak-kanak untuk terus membacanya.
Guru boleh memulakan proses pengajaran dengan membacakan buku cerita tersebut
dengan lantang sambil mengajak kanak-kanak turut serta membaca buku cerita
tersebut. Dengan cara ini secara tidak langsung kanak-kanak akan sedaya upaya
untuk mengikuti proses pembacaan yang sedang berlangsung agar mereka tidak
ketinggalan. Kaedah ini bukan sahaja
bersesuaian bagi pelajar yang kurang mahir membaca pada peringkat rendah
selain ia turut boleh diaplikasikan oleh pelajar pada peringkat menengah yang
masih menghadapi masalah membaca.
Seterusnya,
kaedah ini juga dikatakan berkait rapat dengan penggunaan teks pengajaran yang
dibesarkan cetakannya. Hal ini bermakna guru akan menggunakan teks pendek yang
berbentuk fakta dalam proses pengajaran yang kemudiannya akan dibesarkan
saiznya dan dipaparkan di hadapan kelas. Kaedah ini bertujuan bagi membolehkan
semua pelajar melihat teks yang sama semasa proses pembelajaran berlangsung.
Oleh itu, secara tidak langsung, pelajar-pelajar akan berkongsi pengalaman
membaca yang sama kerana mata mereka akan tertumpu pada teks yang sama.
- Kaedah SQ3R
Kaedah SQ3R ini
merupakan kaedah membaca paling popular yang diperkenalkan pada tahun 1941 oleh
Francis P. Robinson. Terdapat lima langkah membaca yang terkandung dalam kaedah
SQ3R, iaitu Survey, Question, Read, Recite dan Review.
S-Survey :
Bagi mendapatkan maklumat umum tentang sesuatu teks, pembaca perlu meneliti
soalan (survey) tentang perkara yang akan dibaca. Hal ini bertujuan untuk
mempercepatkan pembaca memahami maksud , mendapatkan abstrak, mengetahui
idea-idea penting melihat susunan bahan bacaan daripada teks tersebut dan memudahkan
pembaca untuk mengingati input yang lebih banyak. Pada peringkat ini, pembaca
hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mendapatkan maklumat atau
idea-idea penting yang terkandung di dalam teks dan dapat mengorganisasikan
bahan bacaan.
Pembacaan
peringkat survey terhadap buku boleh
dilakukan dengan cara memerhatikan judul buku, nama pengarang dan tahun
penerbitannya. Kandungan seperti draf isi, kata pengantar,, indeks dan
sebagainya akan menentukan sejauh mana pembaca memahami buku tersebut.
Pembacaan peringkat survey boleh juga dilakukan pada bab dalam buku
tertentu dengan membaca subjudul dalam
bab-bab yang dinyatakan dan ditambah lagi dengan membaca ringkasannya untuk
mendapatkan gambaran umum tentang bab tersebut.
Q-Question :
Pembaca akan mengemukakan beberapa soalan atau pertanyaan pada peringkat
survey. Pertanyaan tersebut akan
menimbulkan lebih banyak lagi soalan-soalan lain tentang isi dengan lebih
mendalam lagi. Pada peringkat question ini, pembaca akan menjadi semakin aktif
apabila mereka dapat membina lebih banyak soalan untuk memahami bahan bacaan
tersebut. Hal ini membuatkan mereka
lebih memahami bahan bacaan yang dibaca dan kandungan yang penting untuk
diingati.
R-Read :
Merupakan langkah ketiga dalam kaedah pembacaan ini. Pembaca akan melakukan
pembacaan secara kritis dan mengikut urutan bahagian-bahagiannya. Pembaca
disarankan untuk mencari jawapan kepada soalan yang dibina pada peringkat
question semasa membaca bahagia-bahagian bahan bacaan tersebut. Perkara yang penting pada peringkat bacaan
ini ialah memerhatikan idea utama dan huraian yang penting tentang idea utama
tersebut. Pembaca perlu melambatkan pembacaan pada maklumat atau idea yang
penting dan mempercepatkan bacaan pada bahagian yang tidak penting. Pembaca
tidak perlu membuat catatan pada bahagian ini kerana ia akan melambatkan bacaan
dan elakkan daripada menggaris frasa-frasa untuk mengelakkan tersalah fakta.
R-Recite :
Selepas membaca topik-topik tersebut, barulah pembaca boleh membuat catatan
tentang bahan bacaan. Sekiranya pada ketika ini pembaca masih sukar untuk
memahami bahan bacaan tersebut, pembaca digalakkan supaya membaca kembali bahan
bacaan tersebut sehingga benar-benar faham apa yang ingin disampaikan oleh pengarang.
R-Review :
Biasanya setiap pembaca mempunyai daya ingatan yang terhad. Walaupun pembaca
telah menguasai dan mengingati sebahagian besar daripada maklumat daripada
buku, pembaca dinasihatkan supaya mengulangi kembali pembacaan pada topik-topik
tersebut dan bahagian-bahagian penting yang perlu diingati. Pada tahap inilah,
ingatan pembaca akan menjadi lebih baik dan membantu pembaca untuk memahami
input-input yang ada dengan lebih mudah lagi.
- Kaedah Skimming dan Scanning
Skimming : Tujuan
pembacaan secara skimming adalah mengambil input atau maklumat yang penting
sahaja daripada bahan yang dibaca. Idea utama dan huraiannya dalam sesuatu
bahan bacaan merupakan input penting yang perlu diambil. Kedudukan maklumat
atau input ini tidak tetap. Ada maklumat yang terdapat pada bahagian awal dan
ada maklumat yang terdapat pada bahagian akhir bahan bacaan. Skimming merupakan
satu keterampilan membaca yang tersusun secara sistematik untuk memudahkan
pembaca mendapat hasil yang baik.
Kaedah pembacaan skimming akan membantu pembaca untuk
mengetahui pendapat daripada orang lain. Kaedah ini menyatakan bahawa pembaca
dapat membuat kesimpulan setelah membaca bahagian awal dan bahagian akhir atau
bahagian-bahagian tertentu sahaja. Pembaca tidak perlu membaca pada semua
bahagian bahan bacaan untuk mendapatkan input yang penting. Kaedah skimming
juga sangat berguna untuk pembaca mengetahui organisasi penulisan. Malah,
kaedah ini juga turut membantu pembaca untuk memurnikan kembali maklumat yang
pernah dibacanya seperti maklumat untuk menyampaikan pidato.
Scanning : Kaedah
scanning merupakan kaedah bacaan untuk mendapatkan maklumat secara terperinci.
Kaedah ini sesuai digunakan oleh mereka yang ingin mengulang kaji mata
pelajaran pada hari-hari terakhir untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana,
kaedah ini hanya dikhususkan pada maklumat yang hendak diperoleh sahaja. Kaedah
scanning dalam bahan penulisan digunakan untuk mencari maklumat yang tertentu
sahaja. Pembacaan yang menggunakan kaedah ini biasanya dilakukan dengan cepat
dan biasanya kaedah ini digunakan untuk mencari nombor telefon, mencari makna
dalam kamus, mencari angka-angka statistik dan melihat siaran televisyen.
Kaedah scanning seeloknya digunakan apabila pembaca sudah
mengetahui kata kunci untuk maklumat yang hendak dicari atau difahami. Pembaca
juga perlu mengetahui struktur tulisan untuk melihat kedudukan jawapan. Pembaca
perlu melakukan gerakan mata secara sistematik dan cepat. Setelah menemui
kedudukan maklumat yang dicari, pembaca perlu perlahankan bacaan untuk
memastikan maklumat yang dicari adalah cepat. Pembaca akan menjadi lebih
efisien apabila menguasai kaedah pembacaan scanning.
- Kaedah Intensif
Pembaca juga boleh menggunakan kaedah membaca intensif
untuk memproses pelbagai input bahasa dualiti. Pembaca perlu membaca petikan
dalam masa yang ditetapkan untuk menggunakan kaedah ini. Pembaca juga boleh
menggunakan teknik membuat soalan dan mencari jawapan kepada soalan tersebut.
Bagi memudahkan pembaca menjawab soalan yang dibina, mereka perlulah merangka
soalan mengikut perenggan secara tersusun. Jawapan yang diberikan seeloknya
diberikan dalam bentuk ringkas dan tepat. Pembaca digalakkan supaya membaca
petikan sekali lagi sekiranya mereka tidak mampu menjawab soalan yang dibina
itu. Kaedah membaca intensif ini boleh dilakukan secara senyap atau kuat.
Pembaca akan dapat memproses pelbagai jenis bahan bacaan dengan mudah sekiranya
mereka menguasai kaedah membaca intensif.
- Kaedah Kefahaman
Sistem pendidikan bahasa Melayu di Malaysia merupakan
satu pendidikan yang mewajibkan pengajaran kefahaman bacaan kepada
pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Oleh itu,
kaedah kefahaman ini amat penting untuk diaplikasikan oleh guru terhadap murid.
Kemahiran yang paling penting untuk menguasai kaedah kefahaman ini ialah,
kemampuan pembaca untuk mengecam idea utama daripada petikan yang dibaca dan
kemudian menceritakan semula tentang idea tersebut dengan menggunakan ayat
sendiri. Seterusnya, pembaca perlu mengesan isi-isi yang terperinci dan
mencatatnya secara berasingan. Isi-isi tersebut boleh dikaitkan dengan isi
utama berdasarkan penerangan tertentu.
Pembaca perlu menumpukan perhatian kepada isi atau
idea-idea yang dijelaskan bukan menumpu kepada huraiannya. Hal ini adalah untuk
mengelakkan pembaca daripada terganggu pemahamannya tentang penerangan dalam
bahan bacaan tersebut. Idea-idea yang mereka peroleh perlu melihat hubungannya
dan dengan bahan idea utama bahan bacaan dan perlu dibahagikan mengikut
ciri-ciri tertentu. Kelebihan menggunakan kaedah kefahaman ini ialah, pembaca
dapat meneka apa yang akan berlaku seterusnya. Hal ini membuktikan bahawa
dengan menggunakan kaedah kefahaman, pembaca dapat memproses maklumat yang
telah dibaca dan pemikirannya adalah selari dengan fikiran penulis.
- Kaedah Abjad-Suku Kata
Kaedah
ini merupakan kaedah gabungan antara Kaedah Abjad dan Kaedah Suku Kata. Pelajar
sekolah rendah sangat sesuai untuk mengaplikasikan kaedah ini dalam
pembelajaran mereka. Menurut Sofia Hamid (1981), pada peringkat awal
murid-murid diajar mengenal huruf sebelum mereka mengenal perkataan.
Huruf-huruf tersebut digabungkan dengan menjadi suku kata. Gabungan huruf vokal
dan konsonan akan membentuk suku kata, kemudian dijadikan perkataan dan
seterusnya dijadikan ayat. Melalui kaedah yang bersifat binaan ini, pelajar
atau pembaca mesti belajar mengenal huruf sebelum mereka boleh membaca
perkataan. Oleh itu, murid dapat memproses maklumat berkaitan huruf , suku
kata, perkataan dan ayat.