Assalamualaikum


Saturday, May 11, 2013

PENDEKATAN PENGAJARAN MEMBACA


                                          











  • Kaedah Fonik


Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih pelajar-pelajar menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.         

            Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87), kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’ dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan tersebut.


  • Kaedah Pandang Sebut



Pendekatan ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada pelajar-pelajar terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, pelajar boleh melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.

            Selain itu, kaedah ini berfungsi dengan pelajar perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, pelajar tidak mengeja atau membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi pelajar perlu menyebut perkataan tersebut. Dengan erti kata lain, dalam  konteks ayat pendek dan mudah, pelajar-pelajar tidak mengeja satu persatu perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi pelajar-pelajar akan terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut. Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap pelajar-pelajar yang mampu untuk  menguasai kemahiran membaca terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa perlu mengeja terlebih dahulu.



  • Kaedah Berkongsi Membaca
Pendekatan mengajar membaca ini merupakan kaedah yang menggunakan perkongsian bahan bacaan dalam proses penguasaan kemahiran membaca. Hal ini kerana menurut Mahzan Arshad (2003:66), kaedah ini memberi peluang kepada pelajar yang lebih mahir untuk memberi tunjuk ajar atau menjadi model kepada pelajar yang kurang mahir. Pemindahan atau perkongsian pengetahuan ini dilakukan melalui aktiviti perkongsian buku yang dibaca. Dengan cara ini akan membolehkan pelajar yang kurang mahir membaca akan cuba mengikut pelajar yang mahir membaca sekali gus meniru teknik-teknik yang digunakan oleh pelajar yang mahir untuk membaca dengan lancar selain dapat memahami makna bahan bacaan tersebut.


             Selain itu, kaedah ini juga boleh menggunakan pendekatan guru yang menjadi model kepada pelajar untuk menguasai kemahiran membaca. Hal ini kerana guru boleh memperkenalkan kanak-kanak yang baru belajar membaca dengan buku-buku cerita yang beraneka jenis yang semestinya digemari oleh kanak-kanak. Buku-buku cerita tersebut sudah tentu mampu menarik minat kanak-kanak untuk terus membacanya. Guru boleh memulakan proses pengajaran dengan membacakan buku cerita tersebut dengan lantang sambil mengajak kanak-kanak turut serta membaca buku cerita tersebut. Dengan cara ini secara tidak langsung kanak-kanak akan sedaya upaya untuk mengikuti proses pembacaan yang sedang berlangsung agar mereka tidak ketinggalan. Kaedah ini bukan sahaja  bersesuaian bagi pelajar yang kurang mahir membaca pada peringkat rendah selain ia turut boleh diaplikasikan oleh pelajar pada peringkat menengah yang masih menghadapi masalah membaca.

            Seterusnya, kaedah ini juga dikatakan berkait rapat dengan penggunaan teks pengajaran yang dibesarkan cetakannya. Hal ini bermakna guru akan menggunakan teks pendek yang berbentuk fakta dalam proses pengajaran yang kemudiannya akan dibesarkan saiznya dan dipaparkan di hadapan kelas. Kaedah ini bertujuan bagi membolehkan semua pelajar melihat teks yang sama semasa proses pembelajaran berlangsung. Oleh itu, secara tidak langsung, pelajar-pelajar akan berkongsi pengalaman membaca yang sama kerana mata mereka akan tertumpu pada teks yang sama.



  •       Kaedah SQ3R

     Kaedah SQ3R ini merupakan kaedah membaca paling popular yang diperkenalkan pada tahun 1941 oleh Francis P. Robinson. Terdapat lima langkah membaca yang terkandung dalam kaedah SQ3R, iaitu Survey, Question, Read, Recite dan Review.

S-Survey : Bagi mendapatkan maklumat umum tentang sesuatu teks, pembaca perlu meneliti soalan (survey) tentang perkara yang akan dibaca. Hal ini bertujuan untuk mempercepatkan pembaca memahami maksud , mendapatkan abstrak, mengetahui idea-idea penting melihat susunan bahan bacaan daripada teks tersebut dan memudahkan pembaca untuk mengingati input yang lebih banyak. Pada peringkat ini, pembaca hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mendapatkan maklumat atau idea-idea penting yang terkandung di dalam teks dan dapat mengorganisasikan bahan bacaan.
Pembacaan peringkat survey  terhadap buku boleh dilakukan dengan cara memerhatikan judul buku, nama pengarang dan tahun penerbitannya. Kandungan seperti draf isi, kata pengantar,, indeks dan sebagainya akan menentukan sejauh mana pembaca memahami buku tersebut. Pembacaan peringkat survey boleh juga dilakukan pada bab dalam buku tertentu  dengan membaca subjudul dalam bab-bab yang dinyatakan dan ditambah lagi dengan membaca ringkasannya untuk mendapatkan gambaran umum tentang bab tersebut.

Q-Question : Pembaca akan mengemukakan beberapa soalan atau pertanyaan pada peringkat survey. Pertanyaan  tersebut akan menimbulkan lebih banyak lagi soalan-soalan lain tentang isi dengan lebih mendalam lagi. Pada peringkat question ini, pembaca akan menjadi semakin aktif apabila mereka dapat membina lebih banyak soalan untuk memahami bahan bacaan tersebut.  Hal ini membuatkan mereka lebih memahami bahan bacaan yang dibaca dan kandungan yang penting untuk diingati.
R-Read : Merupakan langkah ketiga dalam kaedah pembacaan ini. Pembaca akan melakukan pembacaan secara kritis dan mengikut urutan bahagian-bahagiannya. Pembaca disarankan untuk mencari jawapan kepada soalan yang dibina pada peringkat question semasa membaca bahagia-bahagian bahan bacaan tersebut.  Perkara yang penting pada peringkat bacaan ini ialah memerhatikan idea utama dan huraian yang penting tentang idea utama tersebut. Pembaca perlu melambatkan pembacaan pada maklumat atau idea yang penting dan mempercepatkan bacaan pada bahagian yang tidak penting. Pembaca tidak perlu membuat catatan pada bahagian ini kerana ia akan melambatkan bacaan dan elakkan daripada menggaris frasa-frasa untuk mengelakkan tersalah fakta.

R-Recite : Selepas membaca topik-topik tersebut, barulah pembaca boleh membuat catatan tentang bahan bacaan. Sekiranya pada ketika ini pembaca masih sukar untuk memahami bahan bacaan tersebut, pembaca digalakkan supaya membaca kembali bahan bacaan tersebut sehingga benar-benar faham apa yang ingin disampaikan oleh pengarang.

R-Review : Biasanya setiap pembaca mempunyai daya ingatan yang terhad. Walaupun pembaca telah menguasai dan mengingati sebahagian besar daripada maklumat daripada buku, pembaca dinasihatkan supaya mengulangi kembali pembacaan pada topik-topik tersebut dan bahagian-bahagian penting yang perlu diingati. Pada tahap inilah, ingatan pembaca akan menjadi lebih baik dan membantu pembaca untuk memahami input-input yang ada dengan lebih mudah lagi.

  •       Kaedah Skimming dan Scanning


            Skimming : Tujuan pembacaan secara skimming adalah mengambil input atau maklumat yang penting sahaja daripada bahan yang dibaca. Idea utama dan huraiannya dalam sesuatu bahan bacaan merupakan input penting yang perlu diambil. Kedudukan maklumat atau input ini tidak tetap. Ada maklumat yang terdapat pada bahagian awal dan ada maklumat yang terdapat pada bahagian akhir bahan bacaan. Skimming merupakan satu keterampilan membaca yang tersusun secara sistematik untuk memudahkan pembaca mendapat hasil yang baik.
            Kaedah pembacaan skimming akan membantu pembaca untuk mengetahui pendapat daripada orang lain. Kaedah ini menyatakan bahawa pembaca dapat membuat kesimpulan setelah membaca bahagian awal dan bahagian akhir atau bahagian-bahagian tertentu sahaja. Pembaca tidak perlu membaca pada semua bahagian bahan bacaan untuk mendapatkan input yang penting. Kaedah skimming juga sangat berguna untuk pembaca mengetahui organisasi penulisan. Malah, kaedah ini juga turut membantu pembaca untuk memurnikan kembali maklumat yang pernah dibacanya seperti maklumat untuk menyampaikan pidato.

            Scanning : Kaedah scanning merupakan kaedah bacaan untuk mendapatkan maklumat secara terperinci. Kaedah ini sesuai digunakan oleh mereka yang ingin mengulang kaji mata pelajaran pada hari-hari terakhir untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana, kaedah ini hanya dikhususkan pada maklumat yang hendak diperoleh sahaja. Kaedah scanning dalam bahan penulisan digunakan untuk mencari maklumat yang tertentu sahaja. Pembacaan yang menggunakan kaedah ini biasanya dilakukan dengan cepat dan biasanya kaedah ini digunakan untuk mencari nombor telefon, mencari makna dalam kamus, mencari angka-angka statistik dan melihat siaran televisyen.
            Kaedah scanning seeloknya digunakan apabila pembaca sudah mengetahui kata kunci untuk maklumat yang hendak dicari atau difahami. Pembaca juga perlu mengetahui struktur tulisan untuk melihat kedudukan jawapan. Pembaca perlu melakukan gerakan mata secara sistematik dan cepat. Setelah menemui kedudukan maklumat yang dicari, pembaca perlu perlahankan bacaan untuk memastikan maklumat yang dicari adalah cepat. Pembaca akan menjadi lebih efisien apabila menguasai kaedah pembacaan scanning.

  •       Kaedah Intensif


            Pembaca juga boleh menggunakan kaedah membaca intensif untuk memproses pelbagai input bahasa dualiti. Pembaca perlu membaca petikan dalam masa yang ditetapkan untuk menggunakan kaedah ini. Pembaca juga boleh menggunakan teknik membuat soalan dan mencari jawapan kepada soalan tersebut. Bagi memudahkan pembaca menjawab soalan yang dibina, mereka perlulah merangka soalan mengikut perenggan secara tersusun. Jawapan yang diberikan seeloknya diberikan dalam bentuk ringkas dan tepat. Pembaca digalakkan supaya membaca petikan sekali lagi sekiranya mereka tidak mampu menjawab soalan yang dibina itu. Kaedah membaca intensif ini boleh dilakukan secara senyap atau kuat. Pembaca akan dapat memproses pelbagai jenis bahan bacaan dengan mudah sekiranya mereka menguasai kaedah membaca intensif.

  •       Kaedah Kefahaman


            Sistem pendidikan bahasa Melayu di Malaysia merupakan satu pendidikan yang mewajibkan pengajaran kefahaman bacaan kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Oleh itu, kaedah kefahaman ini amat penting untuk diaplikasikan oleh guru terhadap murid. Kemahiran yang paling penting untuk menguasai kaedah kefahaman ini ialah, kemampuan pembaca untuk mengecam idea utama daripada petikan yang dibaca dan kemudian menceritakan semula tentang idea tersebut dengan menggunakan ayat sendiri. Seterusnya, pembaca perlu mengesan isi-isi yang terperinci dan mencatatnya secara berasingan. Isi-isi tersebut boleh dikaitkan dengan isi utama berdasarkan penerangan tertentu.
            Pembaca perlu menumpukan perhatian kepada isi atau idea-idea yang dijelaskan bukan menumpu kepada huraiannya. Hal ini adalah untuk mengelakkan pembaca daripada terganggu pemahamannya tentang penerangan dalam bahan bacaan tersebut. Idea-idea yang mereka peroleh perlu melihat hubungannya dan dengan bahan idea utama bahan bacaan dan perlu dibahagikan mengikut ciri-ciri tertentu. Kelebihan menggunakan kaedah kefahaman ini ialah, pembaca dapat meneka apa yang akan berlaku seterusnya. Hal ini membuktikan bahawa dengan menggunakan kaedah kefahaman, pembaca dapat memproses maklumat yang telah dibaca dan pemikirannya adalah selari dengan fikiran penulis.






  •      Kaedah Abjad-Suku Kata

Kaedah ini merupakan kaedah gabungan antara Kaedah Abjad dan Kaedah Suku Kata. Pelajar sekolah rendah sangat sesuai untuk mengaplikasikan kaedah ini dalam pembelajaran mereka. Menurut Sofia Hamid (1981), pada peringkat awal murid-murid diajar mengenal huruf sebelum mereka mengenal perkataan. Huruf-huruf tersebut digabungkan dengan menjadi suku kata. Gabungan huruf vokal dan konsonan akan membentuk suku kata, kemudian dijadikan perkataan dan seterusnya dijadikan ayat. Melalui kaedah yang bersifat binaan ini, pelajar atau pembaca mesti belajar mengenal huruf sebelum mereka boleh membaca perkataan. Oleh itu, murid dapat memproses maklumat berkaitan huruf , suku kata, perkataan dan ayat.



No comments:

Post a Comment