Assalamualaikum


Sunday, April 28, 2013

MODEL TRANSAKSIONAL


             


           Model Transactional merupakan sebahagian daripada model Interaktif. Hal ini demikian, makna yang terdapat dalam teks lebih menjadi keutamaan kepada pembaca. Sekiranya pembaca dapat memahami teks dengan mudah apabila maklumat yang mereka kehendaki terdapat di dalam teks. Pembaca lebih mementingkan kehendak mereka untuk memperoleh maklumat berbanding daripada pemerhatian mereka terhadap unsur bahasa seperti fonetik dan morfologi. Hal ini demikian, unsur sintaksis dan semantik memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan makna yang dikehendaki oleh pembaca.
           
            Selain itu, teori transactional juga merupakan satu teori membaca yang dilakukan untuk membina makna daripada kombinasi pembaca tertentu, dalam masa yang tertentu dengan teks yang tertentu. Kombinasi tersebut merupakan transaksi antara pengarang, pembaca dan teks. Oleh yang demikian, bagi menghasilkan kombinasi tersebut, guru perlu melakukan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelajar untuk membaca seperti menanyakan soalan. Konsep menanyakan soalan akan mendorong pelajar untuk membaca dengan lebih mendalam bagi memperoleh makna di samping menggalakkan transaksi bacaan menjadi lebih kompleks.

Thursday, April 25, 2013

MODEL INTERAKTIF




Teori membaca mengikut model ini membincangkan penguasaan membaca berdasarkan pembentukan makna melalui interaksi pembaca dengan teks yang dibaca. Hal ini bermakna pembaca yang bertanggungjawab untuk memberi atau membina makna yang bersesuaian terhadap teks yang dibaca. Situasi ini menunjukkan proses interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca berlaku yang mana pembaca akan cuba menguasai, menyimpan dan menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membuat perkaitan dengan bahan yang dibaca. Penggunaan model ini merupakan model yang memberi gambaran kepada pembaca tentang situasi sebenar yang berlaku ketika proses membaca berlaku.
Seterusnya, model interaktif ini juga merupakan gabungan daripada dua model membaca, iaitu model Bottom-up dan model Top-down. Hal ini kerana model Bottom-up dan model Top-down ini akan wujud secara bersilih ganti atau hadir secara serentak bergantung pada pemboleh ubah pembaca dan pemboleh ubah teks. Dalam proses membaca, pembaca akan membaca dengan menggunakan model top –down untuk memahami bahan yang dibaca walaupun tidak mengenal setiap perkataan yang hadir dalam teks bacaan, kemudian pembaca akan beralih kepada model Bottom-up untuk mengetahui makna yang diberikan kepada setiap perkataan yang dibaca bersesuaian dengan huruf-huruf atau perkataan-perkataan yang hadir dalam teks yang dibaca. Keadaan ini menunjukkan pembaca telah menggunakan kedua-dua model ini secara bersilih ganti bagi menguasai kemahiran membaca selain mendapatkan makna bagi teks yang dibaca dengan berkesan dan betul.
Selain itu, model Interaktif ini juga merupakan model yang menggunakan keupayaan kognitif pembaca. Hal ini kerana semasa proses pembacaan, pembaca perlu memikirkan makna yang dikira bersesuaian dengan bahan bacaan dan membuat perkaitan antara pengalaman atau pengetahuan sedia ada pembaca dengan pengetahuan baharu yang baru diperoleh daripada aktiviti pembacaan yang berlangsung. Dalam model ini juga, pembaca akan menggunakan bahan bacaan sebagai input, manakala makna yang telah dirumuskan daripada bahan bacaan bertindak sebagai output (pengetahuan) kepada pembaca. 

Tuesday, April 16, 2013

MODEL TOP-DOWN




  Model Top-down merupakan proses dalam pembacaan seseorang pembaca dan pergerakan bahan bacaannya yang masih bersifat linear tetapi bergerak dari atas ke bawah (Yahya Othman, 27:2003). Model yang berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman ini lebih mengutamakan peranan pembaca semasa memahami teks yang dibaca. Pembaca menggunakan pengetahuan bahasa dan pengalaman yang sedia ada bagi mengaitkannya dengan makna yang terdapat di dalam teks bagi memudahkannya untuk memahami teks (Rajah 1).

              Selain itu, pembaca juga boleh memahami teks walaupun mereka tidak mengenal setiap perkataan yang dibaca. Hal ini kerana pembaca memfokuskan untuk mendapatkan maklumat tanpa mementingkan tatabahasa dalam teks. Oleh yang demikian, makna lebih diutamakan berbanding perkataan. Sekiranya pembaca terjumpa perkataan yang sukar, bacaan akan diteruskan sehingga pembaca memahami maklumat yang terdapat dalam teks tanpa perlu mencari makna perkataan-perkataan sukar tersebut.

           Kebergantungan terhadap pengetahuan sedia ada akan menyebabkan pembaca kurang membaca keseluruhan teks secara lebih terperinci. Goodman turut menyatakan bahawa pemprosesan teks bermula dalam minda pembaca ( Harison Mohd Sidek, 5:2010) apabila pembaca membawa bersama pengetahuan, jangkaan, andaian dan soalan pada teks bagi memberikan makna kepada teks. Pembaca juga menggunakan isyarat sintaksis dan semantik Secara ringkasnya, pemahaman makna teks disebabkan oleh makna dibawa oleh pembaca ke dalam teks dan bukannya berpunca daripada teks.

Friday, April 12, 2013

MODEL BOTTOM-UP



           Teori membaca bagi model ini membincangkan berkaitan proses membaca yang dimulai dengan proses mengenal pasti unsur visual yang tertera dalam teks yang dibaca melalui suara yang dilakukan secara berurutan (Yahya Othman,2004:34). Hal ini bermakna pembaca akan mengecam unsur visual yang hadir dalam teks yang dibaca terlebih dahulu kemudian pembaca akan mengaitkan unsur visual tersebut dengan perkataan-perkataan yang sesuai dengan visual tersebut. Selain itu, model Bottom-up ini juga menerangkan bahawa penguasaan teknik membaca dimulakan dengan melakukan pengecaman huruf (fonem) yang membentuk sesuatu binaan perkataan. Seterusnya pembaca akan mengecam perkataan-perkataan yang terdapat dalam binaan ayat dan akhirnya pembaca akan meletakkan makna bagi bahan yang dibaca dengan mengenal pasti hubungan sintaksis dan semantik berdasarkan teks yang dibaca.
            Selain itu, model Bottom-up ini juga merupakan teknik penguasaan bacaan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana model ini menyarankan pembaca untuk mengenal pasti ciri huruf terlebih dahulu. Hal ini kerana huruf (fonem) yang hadir pada setiap binaan perkataan mempunyai fungsi dan fonologi yang berbeza. Setiap huruf yang akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan makna bagi perkataan yang terbina dapat difahami oleh pembaca. Oleh sebab itu, pembaca perlu meneliti terlebih dahulu ciri-ciri huruf yang hadir sebelum menggabungkan huruf tersebut bagi memilih pola ejaan yang bersesuaian. Gabungan huruf-huruf yang membentuk ejaan tersebut akan membentuk satu binaan perkataan yang mempunyai makna dan peringkat terakhir ialah pembaca akan melakukan proses membina ayat, paragraf dan tahap sesebuah teks.  
            Oleh sebab itu, untuk menguasai kemahiran membaca dengan lebih berkesan, seseorang itu perlu membuat pengecaman terhadap huruf terlebih dahulu daripada aktiviti membaca. Hal ini bermakna, langkah awal semasa membaca, pembaca perlu mengenal pasti dan mengingati huruf-huruf dalam teks yang dibaca. Seterusnya, pembaca akan beralih kepada proses mengecam perkataan yang membentuk ayat dalam teks yang dibaca. Akhirnya sekali, pembaca akan secara automatiknya dapat memahami keseluruhan makna teks yang dibaca berdasarkan makna yang diletakkan ke atas setiap perkataan yang hadir dalam teks yang dibaca.



   
Model Bottom-up (rajah 1)
           Berdasarkan contoh visual yang ditunjukkan (rujuk rajah 1) dapat dilihat proses penguasaan kemahiran membaca dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal, proses penguasaan kemahiran membaca dimulakan dengan membaca huruf-huruf dalam binaan teks yang dibaca. Kemudian, pembaca akan membaca perkataan-perkataan yang membentuk binaan ayat dalam teks dengan membuat hubung kait huruf dengan pola ejaan yang sesuai. Proses tersebut diteruskan dengan bacaan ke atas ayat-ayat pendek dan seterusnya proses bacaan akan beralih kepada pembacaan perenggan yang mengandungi ayat yang lebih panjang. Seterusnya, pembaca akan membaca keseluruhan teks bacaan dan memahami makna teks tersebut.



Peringkat-peringkat bacaan untuk memproses input.


Thursday, April 11, 2013

Definisi belajar membaca.


        Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca ialah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan , seseorang itu dapat mampu mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang ada di dunia. Membaca juga sebenarnya kunci utama yang membantu kita untuk meluaskan ilmu, pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu tersebut dalam pelbagai bidang.
           
          Membaca melibatkan proses mekanikal, kerana semasa membaca kita akan membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca. Apabila ada hubung kait antara membaca dan menjawab soalan, secara automatiknya dapat dikatakan bahawa membaca melibatkan proses pemikiran konstruktif. Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah memperoleh ilmu pengetahuan.
      
          Keupayaan membaca merupakan satu kemahiran yang amat berharga kepada kita kerana  ia merupakan prose dinamik, iaitu kita perlu berkomunikasi secara aktif dan bermakna antara pembaca dan menulis. Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkannya dengan bunyi melalui pengalaman dan mentafsir maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung pada gabungan dari segi pengetahuan bahasa pembaca, gaya kognitif dan pengalaman membaca.
Misalnya seseorang itu membaca ayat ini : “Dia memancung kepala musuhnya dengan sebilah spiku yang tajam”
          
            Bagi ayat ini mungkin pembaca tidak dapat memahami maksud “spiku” kerana dalam bahasa Melayu tidak terdapat perkataan ini dan pengalaman pembaca yang belum pernah menjumpai perkataan ini. Tetapi berdasarkan petanda lain, yang terdapat dalam ayat ini seperti “memancung kepala” dan “yang tajam” telah memberi gambaran sedikit bahawa “spiku” itu adalah sejenis senjata tajam yang boleh digunakan untuk memenggal kepala. Hal ini jelas membuktikan bahawa pengalaman membaca dan pemahaman bahasa amat penting untuk membantu kita memahami sesuatu teks atau tulisan.

Rujukan
Mahzan Arshad (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
Tommy Hj Nollie (2008). Kemahiran Membaca. Diperoleh pada Mac 28, 2013 daripada http://pgsrkent08.edublogs.org/files/2009/12/kemahiran-membaca.pdf
Adenan Ayob Dan Abdullah Yusof (2010). Psikolinguistik. Tanjong Malim : Emeritus Publications.


Tuesday, April 9, 2013

Apa itu bacaan??...





Bacaan merupakan kata terdapat daripada kata dasar ‘baca’. Terdapat pelbagai makna bacaan dengan merujuk kepada penggunaannya dalam sesuatu konteks ayat. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bacaan merujuk bahan untuk dibaca seperti bacaan ringan yang terdiri daripada majalah, komik dan sebagainya, cara membaca seseorang seperti bacaan Al-Quran oleh qariah dalam pertandingan Tilawah Al-Quran, hasil yang dibaca seperti sukatan sesuatu ujian makmal atau mekanikal dan sesuatu tempat yang digunakan untuk membaca seperti bilik bacaan. Oleh sebab pengertian bacaan jarang dibincangkan oleh pakar-pakar bidang bacaan, mereka lebih memfokuskan kepada pengertian konsep membaca.

Atan Long (1978) menjelaskan bahawa membaca merupakan proses yang melibatkan kebolehan pembaca mengenal dan menterjemah lambang-lambang kepada bunyi bahasa dan seterusnya memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan tersebut (Khairuddin Mohamad, 42:2011). Menurut Goodman (1973) membaca ialah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan tersebut (Hasan Hj. Mohd. Ali, 1997).

Selain itu, menurut Clay (22:1991) membaca juga merupakan proses pembaca mampu mengekstrak atau mendapatkan beberapa kiu-kiu daripada teks dan menghubungkaitkan kiu-kiu tersebut bagi memudahkan pembaca untuk memahami makna teks tersebut (Suzanne I. Barchers, 14:1998). Kesimpulannya, membaca merupakan proses seseorang pembaca menghubungkaitkan urutan ayat-ayat yang terdapat dalam sesuatu teks bagi mendapatkan makna yang disampaikan oleh penulis teks tersebut.

Terdapat juga beberapa pendapat lain tentang definisi membaca 

  •    Menurut Meithy Djiwatampu (2008: 38), membaca adalah suatu kegiatan kompleks yang melibatkan serangkaian proses mental.
  • Menurut Yahya Othman (2006: 27), secara umumnya membaca adalah apa yang berlaku apabila seseorang melihat teks dan menetapkan makna pada simbol yang tertulis dalam teks.
  • Menurut Ismail Kusmayadi et. al. (2006:19), membaca bukannya harus hafal kata demi kata atau kalimat demi kalimat yang terdapat dalam bacaan, melainkan bisa memahami apa yang terkandung dalam bacaan. Dengan kata lain, membaca merupakan proses yang kompleks. Proses ini melibatkan kegiatan fasik dan mental.
  • Robert Lado (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya.
  • Harris dan Sipay (1980) telah mendefinisikan membaca sebagai suatu proses memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis.
  • Kenedy (1981) mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual iaitu lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan serta menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui.
  • Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah untuk memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis.
  • Marohaini Yusoff (1989) telah menyatakan bahawa proses membaca ialah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.
  • Zulkifley Hamid (1994), menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tersebut. 


Rujukan :
  • Ismail Kusmayadi et. al (2006). Be Smart Bahasa Indonesia. Bandung: Grafino Media Pratama.
  • Meithy Djiwatapu (2008). Membaca untuk Belajar. Indonesia: Balai Pustaka.