Assalamualaikum


Friday, April 12, 2013

MODEL BOTTOM-UP



           Teori membaca bagi model ini membincangkan berkaitan proses membaca yang dimulai dengan proses mengenal pasti unsur visual yang tertera dalam teks yang dibaca melalui suara yang dilakukan secara berurutan (Yahya Othman,2004:34). Hal ini bermakna pembaca akan mengecam unsur visual yang hadir dalam teks yang dibaca terlebih dahulu kemudian pembaca akan mengaitkan unsur visual tersebut dengan perkataan-perkataan yang sesuai dengan visual tersebut. Selain itu, model Bottom-up ini juga menerangkan bahawa penguasaan teknik membaca dimulakan dengan melakukan pengecaman huruf (fonem) yang membentuk sesuatu binaan perkataan. Seterusnya pembaca akan mengecam perkataan-perkataan yang terdapat dalam binaan ayat dan akhirnya pembaca akan meletakkan makna bagi bahan yang dibaca dengan mengenal pasti hubungan sintaksis dan semantik berdasarkan teks yang dibaca.
            Selain itu, model Bottom-up ini juga merupakan teknik penguasaan bacaan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana model ini menyarankan pembaca untuk mengenal pasti ciri huruf terlebih dahulu. Hal ini kerana huruf (fonem) yang hadir pada setiap binaan perkataan mempunyai fungsi dan fonologi yang berbeza. Setiap huruf yang akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan makna bagi perkataan yang terbina dapat difahami oleh pembaca. Oleh sebab itu, pembaca perlu meneliti terlebih dahulu ciri-ciri huruf yang hadir sebelum menggabungkan huruf tersebut bagi memilih pola ejaan yang bersesuaian. Gabungan huruf-huruf yang membentuk ejaan tersebut akan membentuk satu binaan perkataan yang mempunyai makna dan peringkat terakhir ialah pembaca akan melakukan proses membina ayat, paragraf dan tahap sesebuah teks.  
            Oleh sebab itu, untuk menguasai kemahiran membaca dengan lebih berkesan, seseorang itu perlu membuat pengecaman terhadap huruf terlebih dahulu daripada aktiviti membaca. Hal ini bermakna, langkah awal semasa membaca, pembaca perlu mengenal pasti dan mengingati huruf-huruf dalam teks yang dibaca. Seterusnya, pembaca akan beralih kepada proses mengecam perkataan yang membentuk ayat dalam teks yang dibaca. Akhirnya sekali, pembaca akan secara automatiknya dapat memahami keseluruhan makna teks yang dibaca berdasarkan makna yang diletakkan ke atas setiap perkataan yang hadir dalam teks yang dibaca.



   
Model Bottom-up (rajah 1)
           Berdasarkan contoh visual yang ditunjukkan (rujuk rajah 1) dapat dilihat proses penguasaan kemahiran membaca dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal, proses penguasaan kemahiran membaca dimulakan dengan membaca huruf-huruf dalam binaan teks yang dibaca. Kemudian, pembaca akan membaca perkataan-perkataan yang membentuk binaan ayat dalam teks dengan membuat hubung kait huruf dengan pola ejaan yang sesuai. Proses tersebut diteruskan dengan bacaan ke atas ayat-ayat pendek dan seterusnya proses bacaan akan beralih kepada pembacaan perenggan yang mengandungi ayat yang lebih panjang. Seterusnya, pembaca akan membaca keseluruhan teks bacaan dan memahami makna teks tersebut.



No comments:

Post a Comment