Teori membaca mengikut model ini
membincangkan penguasaan membaca berdasarkan pembentukan makna melalui
interaksi pembaca dengan teks yang dibaca. Hal ini bermakna pembaca yang
bertanggungjawab untuk memberi atau membina makna yang bersesuaian terhadap
teks yang dibaca. Situasi ini menunjukkan proses interaksi antara pembaca
dengan bahan yang dibaca berlaku yang mana pembaca akan cuba menguasai,
menyimpan dan menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membuat perkaitan dengan
bahan yang dibaca. Penggunaan model ini merupakan model yang memberi gambaran kepada
pembaca tentang situasi sebenar yang berlaku ketika proses membaca berlaku.
Seterusnya, model interaktif ini juga
merupakan gabungan daripada dua model membaca, iaitu model Bottom-up dan model
Top-down. Hal ini kerana model Bottom-up dan model Top-down ini akan wujud
secara bersilih ganti atau hadir secara serentak bergantung pada pemboleh ubah
pembaca dan pemboleh ubah teks. Dalam proses membaca, pembaca akan membaca
dengan menggunakan model top –down untuk memahami bahan yang dibaca walaupun
tidak mengenal setiap perkataan yang hadir dalam teks bacaan, kemudian pembaca
akan beralih kepada model Bottom-up untuk mengetahui makna yang diberikan
kepada setiap perkataan yang dibaca bersesuaian dengan huruf-huruf atau
perkataan-perkataan yang hadir dalam teks yang dibaca. Keadaan ini menunjukkan
pembaca telah menggunakan kedua-dua model ini secara bersilih ganti bagi
menguasai kemahiran membaca selain mendapatkan makna bagi teks yang dibaca
dengan berkesan dan betul.
Selain itu, model Interaktif ini juga
merupakan model yang menggunakan keupayaan kognitif pembaca. Hal ini kerana
semasa proses pembacaan, pembaca perlu memikirkan makna yang dikira bersesuaian
dengan bahan bacaan dan membuat perkaitan antara pengalaman atau pengetahuan
sedia ada pembaca dengan pengetahuan baharu yang baru diperoleh daripada
aktiviti pembacaan yang berlangsung. Dalam model ini juga, pembaca akan
menggunakan bahan bacaan sebagai input, manakala makna yang telah dirumuskan
daripada bahan bacaan bertindak sebagai output (pengetahuan) kepada pembaca.
No comments:
Post a Comment